Centre for Shariah Reference in Islamic Finance - Pusat Rujukan Shariah Bagi Kewangan Islam

Centre For Shariah Reference in Islamic FinancePusat Rujukan Shariah Bagi Kewangan Islam

Mesyuarat MPS ke-188 (30 Oktober 2018) : Model Financial Retakaful berdasarkan Konsep Hibah Bithawab

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-188 bertarikh 30 Oktober 2018 telah memutuskan untuk tidak meluluskan cadangan model financial retakaful (FinRe) berdasarkan konsep hibah bithawab (hibah disertai dengan imbalan) di antara pengendali takaful dan pengendali takaful semula berdasarkan hujah-hujah berikut:

i. Secara prinsipnya, aplikasi konsep hibah bithawab adalah suatu bentuk tabarru` yang biasanya diamalkan untuk tujuan saling menghargai (mukaramah) dan berkasih sayang (widad). Oleh itu, ia tidak sesuai untuk diaplikasikan dalam konteks perniagaan yang bermotifkan keuntungan kerana ia akan menukar konsep hibah bithawab daripada tabarru` kepada mu`awadhat;

ii. Sehubungan itu, hibah bithawab yang bermotifkan perniagaan dan keuntungan adalah tidak dibenarkan. Sebaliknya, aplikasi kontrak tabarru` dalam takaful (dana risiko) yang berlaku sesama peserta untuk mendapatkan perlindungan takaful (tidak bermotifkan perniagaan/keuntungan secara substantif) adalah dibenarkan;

iii. Tambahan pula, konsep hibah bithawab yang melibatkan kedua-dua hibah dan obligasi thawab (imbalan) dalam bentuk wang boleh menjurus kepada transaksi yang mempunyai elemen riba; dan

iv. Konsep hibah bithawab tidak boleh diaplikasi atas dasar darurah atau hajah memandangkan terdapat konsep Syariah alternatif yang lebih sesuai bagi struktur model FinRe yang dicadangkan.

Sila lihat lampiran untuk maklumat lanjut.

Add Comment