Mesyuarat MPS ke-199 (26 November 2019) : Pelaksanaan Tawarruq Secara Straight-Through Processing (STP)

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-199 bertarikh 26 November 2019 telah telah memutuskan bahawa cadangan untuk melaksanakan tawarruq secara Straight-Through Processing (STP) adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  1. Kontrak jual beli dalam tawarruq hendaklah dilaksanakan mengikut turutan yang betul  dan disokong dengan bukti yang jelas;
  2. Aset yang diurusniagakan mestilah boleh dikenal pasti dan ditentukan secara spesifik (mu`ayyan bi al-zat) dari sudut lokasi, kuantiti dan kualiti bagi memenuhi ciri-ciri urus niaga sebenar;
  3. Pelaksanaan dwi-agensi hendaklah mematuhi keperluan yang ditetapkan dalam dokumen polisi Tawarruq yang merangkumi, tetapi tidak terhad kepada, perkara-perkara berikut:
    • peranan dan tanggungjawab pihak berkontrak, penentuan harga, tempoh matang dan spesifikasi aset, hendaklah dipersetujui oleh pihak-pihak berkontrak; dan
    • mestilah terdapat pengasingan yang jelas berkenaan peranan dan tugas yang akan dilaksanakan oleh wakil.
  4. Pemilikan terhadap aset yang diurusniagakan dari sudut Syariah dan perundangan serta risiko berkaitan pemilikan hendaklah wujud dan dapat dibuktikan melalui dokumentasi atau rekod yang bersesuaian; dan
  5. Pembeli mesti mempunyai hak untuk menerima penyerahan (take delivery) terhadap aset yang diurusniagakan pada setiap kontrak jual beli dalam tawarruq. Bagi pelaksanaan tawarruq melalui STP, pilihan untuk menerima penyerahan hendaklah dizahirkan kepada pelanggan secara jelas sebelum pelaksanaan tawarruq atau selepas transaksi jualan aset kepada pelanggan dilaksanakan.

Sila lihat lampiran di sini untuk maklumat lanjut.