Mesyuarat MPS ke-194 (25 Jun 2019) : Produk Pembiayaan Import Surat Kredit Islamik Berasaskan Kontrak Bai` Istijrar

MPS Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-194 bertarikh 25 Jun 2019 telah memutuskan perkara berikut:

Produk Pembiayaan Import Surat Kredit Islamik Berasaskan Kontrak Bai` Istijrar

MPS meluluskan struktur cadangan produk pembiayaan import Surat Kredit Islamik (Surat Kredit-i) berasaskan kontrak bai` istijrar (jual beli bekalan dengan harga tangguh) tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  1. Perjanjian Fasiliti (Facility Agreement) bagi produk ini hendaklah memperincikan perkara-perkara berikut:
    1. Tanggungjawab pengimport (pelanggan) sebagai wakil untuk melaksanakan pembelian barangan bagi pihak institusi kewangan Islam (IKI);
    2. Tanggungjawab pengimport untuk membeli barangan daripada IKI ketika penerimaan barangan dan/atau dokumen; dan
    3. Risiko dan liabiliti pihak-pihak berkontrak berkaitan pemilikan barangan pada setiap peringkat transaksi jual beli.
  2. Memastikan transaksi di atas dilaksanakan dalam aturan proses yang betul iaitu tanggungjawab pengimport sebagai wakil pembelian barangan bagi pihak IKI mestilah disempurnakan terlebih dahulu sebelum pembelian barangan oleh pengimport daripada pihak IKI dilaksanakan.

Kelulusan MPS berhubung kontrak bai` istijrar ini hanya terhad kepada struktur yang dicadangkan sahaja berikutan terdapat keperluan yang khusus berhubung produk pembiayaan bagi pelaksanaan pembiayaan perdagangan.

Sila lihat lampiran di sini untuk maklumat lanjut.