Mesyuarat MPS ke-198 dan ke-199 (29 Oktober 2019 dan 26 November 2019): Cadangan Produk Ar-Rahnu Berasaskan Tawarruq

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-198 dan ke-199 bertarikh 29 Oktober 2019 dan 26 November 2019  telah memutuskan bahawa penstrukturan produk ar-rahnu berasaskan tawarruq dan rahn adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  1. Bagi struktur yang melibatkan pembelian komoditi secara pukal pada awal hari perniagaan, penyesuaian fiqah (takyif fiqhi) berkenaan pembatalan pembelian komoditi daripada penyedia platform perdagangan komoditi pada akhir hari perniagaan hendaklah jelas;
  2. Dalam situasi kemungkiran oleh pelanggan, kebenaran daripada pelanggan perlu diperoleh sebelum proses penjualan (pencairan) aset cagaran dilaksanakan;
  • Terma dan syarat produk ar-rahnu hendaklah menyatakan dengan jelas layanan-layanan berikut dalam situasi kemungkiran oleh pelanggan yang membawa kepada pencairan aset cagaran:
  • jika hasil daripada pencairan aset cagaran melebihi liabiliti pelanggan, lebihan tersebut hendaklah dikembalikan kepada pelanggan; dan
  • jika hasil daripada pencairan aset cagaran adalah kurang daripada liabiliti atau obligasi pelanggan, pihak institusi kewangan Islam (IKI) berhak untuk mendapatkan amaun tersebut daripada pelanggan.
  1. Pelanggan hendaklah dimaklumkan berhubung spesifikasi dan ciri-ciri komoditi yang dijual beli termasuklah lokasi, jenis, kualiti, dan kuantiti serta kaedah pengiraannya bagi mengelakkan elemen ketidakpastian (gharar) dan pertikaian oleh pihak-pihak yang berkontrak; dan
  2. Semua keperluan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dalam dokumen polisi Tawarruq dan Rahn hendaklah dipatuhi.

Keputusan ini hendaklah dibaca bersama keputusan MPS berhubung pelaksanaan aturan tawarruq secara straight-through processing (STP) bertarikh 26 November 2019.

Sila lihat lampiran disini untuk maklumat lanjut.