Mesyuarat MPS Ke-190 (26 Februari 2019): Produk Murabahah Komoditi Bercagar (Collateralised Commodity Murabahah) sebagai Instrumen Pasaran Kewangan Islam

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-190 bertarikh 26 Februari 2019 telah memutuskan bahawa cadangan produk murabahah komoditi bercagar yang menggunakan aset kewangan tanpa skrip sebagai aset cagaran yang merangkumi konsep tawarruq (murabahah komoditi) dan rahn (cagaran) adalah dibenarkan berdasarkan kepada syarat berikut:

  1. Pertukaran pendaftaran aset cagaran (marhun) daripada penggadai (rahin) kepada pemegang gadaian (murtahin) bukanlah pemindahan hak milik sebenar kerana ia hanya melibatkan pemindahan hak perundangan (legal title) semata-mata sedangkan hak benefisial masih kekal di tangan penggadai;
  2. Penggadai masih lagi menanggung kesemua liabiliti berhubung aset cagaran dan berhak mendapat ganjaran yang terhasil daripada aset cagaran tersebut;
  3. Pemegang gadaian tidak berhak untuk menjual aset cagaran kepada pihak ketiga kecuali bagi tujuan pencairan aset apabila berlakunya kemungkiran;
  4. Pemegang gadaian tidak berhak untuk mencagarkan aset cagaran kepada pihak ketiga kecuali dengan izin penggadai; dan
  5. Pemegang gadaian mempunyai kewajipan untuk memulangkan semula aset cagaran kepada penggadai apabila semua hutang murabahah komoditi telah dilunaskan

Sila lihat lampiran disini untuk maklumat lanjut.